Menyuap si kecil makan boleh menjadi hura-hara apabila tidak betul
caranya. Kesabaran papa dan mama perlu tinggi ketika berhadapan dengan
kerenah buah hati tersayang.
Sepatutnya masa makan anak-anak menjadi waktu yang dinantikan. Ciptalah
waktu makan yang menyeronokkan kerana ia pasti akan memudahkan tugas
anda.
Janganlah memaksa mereka menghabiskan semangkuk bubur semata-mata untuk
kepuasan anda. Ia hanya akan membuatkan si manja menjadi trauma dengan
waktu makan.
Mungkin dengan mematuhi tip berikut, ia sedikit sebanyak membantu anda menjadikan masa makan lebih bermakna.
1. Anak berada dalam keadaan selesa
Pangku bayi semasa memberinya makan. Tinggikan sedikit bahagian kepala
supaya dia dapat makan dengan lebih selesa. Untuk menjaga kebersihan
pakaian bayi anda, gunakanlah bib. Setelah bayi selesa dan boleh duduk,
letakkan mereka ke dalam kerusi makan bayi setiap kali tiba waktu makan.
2. Makanan yang sesuai
Makanan pertama
yang anda perkenalkan kepada bayi mestilah benar-benar lembut dan tidak
terlalu berperisa. Biasanya, pada peringkat permulaan, bayi akan lebih
senang menerima bubur nasi kerana tekstur dan rasanya seakan-akan susu.
3. Tidak terlalu panas
Makanan bayi tidak perlu terlalu panas dan sejuk. Cukuplah sekadar
suam-suam. Selain itu, jangan suapkan terlalu banyak makanan pada
satu-satu masa. Beri anak anda makan sedikit demi sedikit. Cara ini akan
memudahkan anak untuk belajar menelan makanan dan dalam masa yang sama
belajar makan menggunakan sudu dan bukan melalui botol susu.
4. Bersabar
Pertama kali memberi anak makan memang memerlukan kesabaran yang
tinggi. Anak anda tidak akan mudah menerima makanan yang diberi. Mungkin
sebab dia belum biasa untuk makan. Jadi, ambillah masa. Jangan terlalu
memaksa. Ajar anak anda makan perlahan-lahan agar semuanya berjalan
lancar.
5. Jaga kebersihan
Pastikan semua peralatan yang digunakan termasuklah makanannya bersih
daripada sebarang kekotoran untuk mengelakkan bayi anda sakit perut. Hal
ini perlu dipandang serius agar bayi tidak rasa serik untuk makan.
Ingat, memberi anak makan adalah untuk menjadikan mereka lebih sihat dan
bukan mendapat penyakit.
6. Pastikan bayi lapar
Ramai berpendapat, waktu terbaik untuk memberi bayi makan ialah selepas
mereka bangun daripada tidur pada waktu pagi. Mungkin di antara pukul
10 hingga 11 pagi. Ketika ini, biasanya bayi akan rasa lapar. Untuk
mengelakkan bayi terkejut dan rasa selamat, beri mereka minum sedikit
susu terlebih dahulu sebelum meneruskannya dengan memberi makan.
No comments:
Post a Comment